|
Kelab Reformasi Universiti-keADILan |
|
|
|
|
RAKYAT MALAYSIA,
KETAHUILAH HAK ANDA !
Oleh : Jabatan Bantuan Undang-undang K.R.U.
By : K.R.U. Legal Aids Department
HAK ASASI DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Hak asasi telah ditulis dalam Perlembagaan Malaysia dengan menggunakan
perkataan Kebebasan Asasi. Salah satu bahagian yang terdapat di dalam
Kebebasan Asasi tersebut ialah KEBEBASAN DIRI.
Kebebasan Diri di dalam Perlembagaan Malaysia disebut :
a) Seseorang itu tidak boleh diambil nyawanya atau dihapuskan
kebebasannya melainkan mengikut undang-undang. Mahkamah berhak
melepaskan dia, jika didapati bahawa penahanannya menyalahi
undang-undang. Apabila seseorang ditangkap, maka ia hendaklah
diberitahu
sebab-sebab dia ditangkap dan hendaklah dibenarkan berunding dan dibela
oleh seorang penasihat undang-undang yang dipilihnya sendiri. Tiap-tiap
orang yang ditangkap hendaklah dibawa ke hadapan majistret dalam tempoh
24 jam dari mula tangkapan itu, melainkan dia telah dilepaskan sebelum
habis tempoh.
b) Seseorang tidak boleh diseksa kerana telah melakukan perbuatan yang
memangnya tidak menjadi kesalahan pada ketika ia melakukan perbuatan
itu. Dan dia tidaklah pula boleh dihukum dengan hukuman yang ditetapkan
oleh undang-undang pada ketika ia melakukan kesalahan itu. Seseorang
yang telah dibebaskan dari kesalahan atau disabitkan kesalahannya,
tidak
boleh dibicarakan lagi atas kesalahan itu, melainkan kebebasannya itu
telah dihapuskan oleh Mahkamah Tinggi dan bicara semula diperintahkan
oleh mahkamah tersebut.
c) Seseorang warganegara tidak boleh dibuang negeri dari Persekutuan.
Dan tertakluk kepada undang-undang mengenai keselamatan Persekutuan,
keamanan awam, kesihatan awam, atau hukuman ke atas penjenayah.
Tiap-tiap warganegara berhak bergerak di seluruh Persekutuan dan
tinggal
di mana-mana tempat dalam Persekutuan ini.
d) Seseorang warganegara ada hak dalam kebebasan bercakap dan
menyuarakan fikirannya, berhak berkumpul dalam keadaan yang aman dan
tidak bersenjata, serta berhak menubuhkan persatuan. Tetapi semua
kebebasan ini boleh dihadkan oleh undang-undang jika difikirkan
mustahak
dan perlu demi kepentingan keselamatan Persekutuan, tali persahabatan
dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam dan keelokan akhlak awam.
Adalah menjadi sebagai tiang undang-undang jenayah negeri ini iaitu
tiap-tiap orang dianggap tidak bersalah, melainkan setelah dibuktikan
bahawa ia bersalah. Tiap-tiap orang juga tidak boleh dipaksa mengaku
salah atau memberi keterangan yang menunjukkan bahawa ia telah
melakukan
kesalahan. Jika dengan jalan paksa, pengakuan salah atau kenyataanitu
diperoleh, maka pengakuan dan kenyataan itu tidaklah boleh diterima
oleh
mahkamah. Untuk membuktikan sesuatu kesalahan, pihak yang mendakwa
hendaklah mencari keterangan-keterangan yang lain.
AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI
Di dalam dunia ini hanya negara Malaysia, Singapura dan Israel sahaja
yang masih mengamal dan mempraktiskan Akta Keselamatan Dalam Negeri,
iaitu akta yang membolehkan penahanan seseorang tanpa bicara.
Penahanan seseorang tanpa bicara hanya dibenarkan jika difikirkan
mustahak demi menjaga keselamatan Malaysia, keamanan awam atau
perkhidmatan yang penting (essential services) dalam Malaysia.
Oleh kerana kuasa menahan seseorang dengan tidak dibicarakan itu
mungkin
boleh disalahgunakan, maka perkara 151 Perlembagaan Malaysia telah
menetapkan beberapa-beberapa syarat untuk mengesahkan undang-undang
mengenai penahanan ini. Syarat-syarat ini ialah seperti berikut :
a) Seseorang yang ditahan hendaklah diberitahu sebab-sebab dia ditahan
dan berhak mengemukakan hujah-hujah menentang penahanannya itu, dan
berhak mengemukakan kenyataan mengenai penahanannya, melainkan
kenyataan
yang dianggap membahayakan kepentingan negara.
b) Seseorang warganegara tidak boleh ditahan lebih daripada tiga bulan,
melainkan penahanannya itu telah disyorkan kepada Yang Di Perruan Agong
oleh satu badan penasihat mengenai hal ini. Sebelum syor itu dibuat,
badan penasihat tersebut telah mempertimbangkan hujah-hujah yang
dikemukakan oleh warganegara yang ditahan itu.
c) Badan penasihat tersebut hendaklah terdiri daripada seorang
pengerusi
dan dua orang ahli biasa. Pengerusi itu hendaklah orang yang layak
menjadi hakim atau sudah menjadi hakim, dan perlantikannya dibuat oleh
Yang Di Pertuan Agong. Kedua-dua ahli biasa itu ialah orang yang
dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang Di
Pertua Hakim Mahkamah Persekutuan.
Syarat-syarat ini dikenakan untuk maksud supaya kuasa penahanan dengan
tidak dibicarakan itu digunakan sehampir-hampirnya dengan peraturan
mahkamah. Bezanya ialah perbicaraan itu tidak dibuka kepada orang awam,
dan kesalahan orang tahanan itu bukanlah kesalahan jenayah, tetapi
kesalahan politik. Pengerusi badan penasihat itu ialah orang yang layak
menjadi hakim. Yang demikian terdapatlah juga peruntukan bagi
memelihara
kebebasan rakyat.
· Dipetik dan diolah dari buku "Kewarganegaraan Dan Hak Asasi".Buku
ini
telah ditulis oleh Tun Datuk Haji Mohd Salleh Abas, bekas Peguam
Negara,
Hakim Mahkamah Persekutuan dan Ketua Hakim Negara Malaysia.
|





Ke ArahkeADILan